DADAH merupakan isu yang telah sekian lama menjadi barah, bukan hanya kepada negara ini tetapi juga kepada masyarakat global. Penularan dadah jenis baharu yang dikenali sebagai New Psychoactive Substance (NPS) menjadikan isu tersebut semakin sukar untuk ditangani. Ini kerana, dadah yang mengandungi unsur NPS mudah dihasilkan dan dijual dalam pelbagai bentuk termasuklah dalam bentuk gula-gula dan minuman.
Di negara ini, dadah seperti itu dikesan dipasarkan pada harga serendah RM5 berbanding dadah jenis sintetik yang dijual antara RM30 hingga RM50. Faktor tersebut mungkin telah menarik minat golongan remaja dan pelajar sekolah untuk mencubanya kerana ia boleh dibeli pada harga yang murah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh baru-baru ini mendedahkan, seramai 679 pelajar telah ditangkap sepanjang tahun lalu atas kesalahan terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Kata beliau, walaupun jumlah tersebut masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pelajar di negara ini, namun ia satu perkara yang serius dan membimbangkan.
Malah jelas Mohmad, isu berkaitan kesalahan dadah dalam kalangan pelajar sukar untuk ditangani kerana trend kesalahan yang sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun. Mengulas lanjut mengenainya, Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, sudah tiba masanya pihak berkaitan memikirkan kaedah yang bersesuaian untuk menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, dalam menangani isu tersebut, terdapat dua elemen yang perlu diberi perhatian iaitu pencegahan dan intervensi.
“Dari sudut pencegahan, pihak berkuasa harus mencari mekanisme terbaik dalam mengesan kehadiran dadah jenis baharu selain cara untuk menghalang ia daripada memasuki dan dipasarkan di negara ini.
“Selain itu, anggota masyarakat juga harus lebih aktif dengan menyalurkan segala maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah sama ada berkaitan individu yang memasarkannya ataupun lokasi ia dipasarkan,” katanya.
Dalam konteks intervensi pula jelas beliau, pihak yang berkaitan terutamanya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) harus mencari penyelesaian terutamanya berhubung pemulihan pelajar yang terlibat.
Rawatan
Menurut beliau, disebabkan pelajar sekolah merupakan individu bawah umur dan tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016, mereka yang disahkan mengalami ketagihan dadah tidak boleh ditempatkan di pusat pemulihan bersama-sama pesalah dewasa.
“Jika tidak diberikan rawatan, kemungkinan besar mereka sukar untuk dipulihkan daripada ketagihan.
“Oleh itu, sudah tiba masanya AADK dan JKM bekerjasama untuk mewujudkan pusat rawatan pemulihan khas kepada pesalah bawah umur yang mempunyai peranan sama seperti pusat pemulihan lain yang ada di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pakar Psikologi, Dr. Maria Chong Abdullah ketika dihubungi pula menjelaskan, faktor harga murah bukanlah pendorong utama yang menyebabkan golongan pelajar terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Jelas beliau, dari sudut psikologi, golongan remaja biasanya memiliki ciri-ciri ingin tahu yang tinggi terhadap sesuatu perkara dan mereka akan cuba melakukannya tanpa memikirkan kesannya.
“Disebabkan rasa ingin tahu itu sangat tebal dalam diri mereka, ia telah mendorong ramai pelajar dan mereka yang berada di bawah umur untuk cuba merasai dadah, lebih-lebih lagi apabila ia ditawarkan dalam pelbagai bentuk seperti gula-gula dan minuman.
“Mungkin pada asalnya hanya ingin mencuba, tetapi lama-kelamaan mereka mula ketagih,” katanya. Jelas beliau lagi, faktor kawalan ibu bapa yang longgar juga turut menyumbang kepada terjadinya masalah tersebut.
Menurut Maria, faktor lain yang menyumbang kepada penglibatan pelajar dalam isu dadah ialah faktor sosial.
Katanya, disebabkan golongan remaja dan pelajar ketika ini terbiasa dengan penggunaan gajet, teknologi komputer dan internet, mereka sangat terdedah dengan pelbagai maklumat termasuklah berkaitan jenis-jenis dadah yang ada di pasaran dan kaedah untuk mendapatkannya.
Malah, pergaulan dengan rakan-rakan yang bermasalah juga akan menyebabkan golongan pelajar terdedah dengan dadah.
Oleh itu katanya, golongan ibu bapa harus sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka dan mengambil tahu setiap aktiviti yang dilakukan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tidak sihat termasuklah penyalahgunaan dadah.
Source:http://www.kosmo.com.my/negara/tangani-isu-pelajar-terlibat-najis-dadah-1.603181