mcmc
Keselamatan

Mesyuarat Bersama CPRC Kebangsaan Secara Virtual

Putrajaya, 7 Januari 2020, 8.00 pagi – YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan mempengerusikan Mesyuarat Bersama CPRC Kebangsaan Secara Virtual di Blok E10, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.
Hadir sama dengan YB Menteri Kesihatan dalam mesyuarat tersebut adalah Dato’ Dr Haji Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Dr. Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit.
Turut hadir sama secara virtual adalah Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah-Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri daripada seluruh negara serta pegawai-pegawai tinggi Kementerian Kesihatan.
Mesyuarat membincangkan strategi dan pendekatan terbaik yang perlu diambil untuk berdepan dengan COVID-19. Selain memperhalusi penyelesaian terbaik terhadap isu-isu semasa berkaitan dengan COVID-19.
YB Menteri Kesihatan menyatakan tentang pentingnya memperkasakan komuniti di peringkat masyarakat untuk mendepani COVID-19 menerusi pendekatan Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) dan Cegah, Amal, Patuh dan Pantau, CAPP.
DRRP bertujuan untuk melindungi daerah hijau bebas dari kes jangkitan COVID-19 dan menukar daerah kuning kepada daerah hijau dalam tempoh 14 hari. Tiga tonggak utama DRRP adalah untuk melindungi keluarga, lindungi komuniti dan lindungi daerah. DRRP boleh dicapai melalui kepatuhan individu, keluarga dan komuniti kepada amalan CAPP.